PBTSELANGOR

Langkah proaktif MPSJ atas banjir kilat di LDP KM23.8

OLEH HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 6 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) KM23.8 berdekatan susur keluar Bandar Puteri di sini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan kerjasama pihak berkaitan khususnya pemaju, IOI Properties, merangka beberapa cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan.

“IOI Properties akan melakukan pembersihan halangan ‘blockage’ di laluan masuk tanah persendirian miliknya yang menjadi punca utama kejadian banjir kilat serta membuka ‘outlet’ lebih besar ke longkang parit utama.

“Pemaju terbabit juga akan menaikkan tembok longkang di Jalan Puteri 4/2, Bandar Puteri agar air larian permukaan tidak melimpah ke lebuhraya sekiranya berlaku hujan lebat termasuk membina lubang servis di sepanjang ‘underground culvert’.

“Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPSJ pula akan menjalankan kerja pembersihan longkang besar di kawasan berhampiran,” katanya.

Hujan lebat berlaku di kawasan itu pada 2 Oktober lalu, menyebabkan beberapa kawasan seperti Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Sri Andalas, Persimpangan Bertingkat Pucohng Utama dan kawasan LDP berhampiran susur keluar daripada Bandar Puteri di sini, ditenggelami air akibat banjir kilat.

Noraini berkata, kejadian itu adalah luar biasa kerana taburan hujan setinggi 117milimeter (mm) dalam tempoh masa lama iaitu melebihi tahap biasa (60mm).

Bagi menangani kejadian itu, katanya, MPSJ telah menghantar Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) MPSJ bagi tujuan pengurusannya serta membantu kerja pemotongan pokok yang menghalang lalu lintas di samping tindakan susulan lawatan tapak dan kerja pemeriksaan longkang secara menyeluruh.

“Lanjutan dari kehadiran musim tengkujuh ini, MPSJ melakukan persiapan awal menghadapinya dengan menjalankan pemantauan serta kerja pembersihan kawasan secara berterusan.

“Memastikan pasukan PANTAS sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana dan pembabitan semua Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana MPSJ di tapak sekiranya berlaku bencana,” katanya.

=EZY=


Pengarang :