Selangorkini
NASIONAL

Operasi menyelamat di Puchong ikut prosedur

KUALA LUMPUR 4 OKT: Kesemua anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di lombong Taman Putra Perdana Puchong malam tadi telah menjalankan operasi mengikut prosedur.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid berkata operasi oleh anggota dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) itu juga dijalankan dengan menggunakan peralatan khas.

Namun jelasnya mereka termasuk ke dalam pusaran air yang sangat deras akibat hujan lebat.

Anggota bomba yang lain berjaya membawa mereka naik dan memberikan bantuan pernafasan namun mereka disahkan meninggal dunia.

“Kes ini disebabkan oleh hujan lebat dan kita percaya aliran air itu deras dan mungkin kuantiti air itu melimpah lebih.

“Kita akan membuat siasatan dalaman untuk melihat langkah untuk mengelakkan kejadian seperti ini berlaku lagi di masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Serdang awal pagi ini.

Mohammad Hamdan memberitahu tragedi ini kali pertama berlaku melibatkan jumlah anggota yang banyak dan menjadi satu kehilangan besar dalam JBPM.

Jelasnya pihaknya akan membuat siasatan dalaman bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegajan supaya kejadian sama tidak berlaku lagi di masa akan datang.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata anggota bomba yang lemas diikat pada satu tali ketika menjalankan operasi SAR tersebut.

Jelasnya ia merupakan SOP unit berkenaan termasuk lengkap dengan memakai peralatan menyelam ketika SAR.

Namun air deras yang berlaku di kawasan itu menyebabkan kesemua mangsa berpusing di dalam air serta menyebabkan peralatan menyelam mereka tertanggal.

Beliau berkata kesemua mangsa bergelut kira-kira 30 minit, dengan anggota di darat segera cuba membantu menaikkan mereka ke tebing.

Abdul Aziz berkata kesemua mereka kemudian berjaya ditarik ke tebing namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata pasukan perubatan yang berada di lokasi cuba memulihkan mangsa dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun tidak berjaya.

SUMBER: ASTRO AWANI


Pengarang :