NASIONAL

Pengguna nikmati harga jalur lebar lebih rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 OKT: Pengguna akan menikmati harga jalur lebar talian tetap lebih rendah dengan pengurangan hingga 56 peratus apabila empat syarikat telekomunikasi mengumumkan pakej baharu, hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan berkata, syarikat telekomunikasi terbabit adalah Telekom Malaysia (TM), Maxis, TIME dotcom (TIME) dan Celcom.

Katanya, pelaksanaan itu dibuat ekoran saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo supaya menawarkan jalur lebar talian tetap, pada harga lebih berpatutan kepada rakyat, lanjutan daripada pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP).

“Kesemua syarikat telekomunikasi kini menawarkan pakej permulaan di bawah RM100 berserta pakej yang menawarkan kelajuan lebih tinggi, pada harga lebih rendah,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, pakej permulaan TM bagi 30 Megabits sesaat (Mbps) sebelum MSAP, pada kadar RM139 kini berharga RM79, manakala pakej permulaan Celcom 40 Mbps selepas MSAP berkurangan kepada RM80 daripada RM180.

“Sementara itu, pakej permulaan Maxis 30 Mbps sebelum MSAP, pada kadar RM139 kini menjadi RM89 dan pakej permulaan TIME 100 Mbps, pada harga RM149 sebelum MSAP kini RM99.

“Pakej TIME pada kelajuan 500 Mbps kini berharga RM139 sementara pakej TIME dengan kelajuan 1 gigabit sesaat (Gbps) kini berharga RM199.

SKMM berkata, pelaksanaan MSAP dan penurunan harga selaras dengan usaha kerajaan menyediakan jalur lebar berkualiti tinggi dan bertaraf dunia, pada harga berpatutan.

“SKMM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk terus meningkatkan kualiti jalur lebar di Malaysia,” katanya.


Pengarang :