NASIONAL

Pengundi PD disaran semak maklumat guna aplikasi MySPR Semak

PORT DICKSON, 9 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyarankan agar pengundi di Parlimen Port Dickson membuat semakan maklumat pengundian mereka melalui aplikasi MySPR Semak bagi melancarkan proses pengundian Sabtu ini.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit itu akan membolehkan pengundi menyemak daftar pemilih dan saluran mereka dengan cepat sebelum hadir ke pusat pengundian.

“Aplikasi ini membolehkan pengurangan semakan secara fizikal melalui kaunter dan ini merupakan satu inisiatif baik yang melibatkan pengunaan teknologi, di samping mengurangkan tanggungjawab serta beban fizikal pegawai kita pada hari pengundian nanti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Kem Segenting PD di sini.

Terdahulu, Azhar meninjau dua lagi pusat pengundian awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Mengulas mengenai proses pengundian awal hari ini, Azhar berkata segalanya berjalan lancar dan SPR menyasarkan peratusan pengundi awal sekitar 70 peratus.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar dan calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :