GLOBAL

Pihak berkuasa Indonesia mula operasi kesan Lion Air

JAKARTA, 29 OKT: Pihak berkuasa Indonesia kini melakukan operasi mencari pesawat Lion Air yang dilaporkan terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, pada jam 6.20 pagi tadi.

Operasi itu membabitkan pasukan tentera dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) di lokasi pesawat itu terhempas, iaitu di koordinat 05 48.934 S 107 07.384 E, di perairan Karawang.

Direktur Jenderal Perhubungan Udara, Pramintohadi Soekarno berkata, pesawat itu membawa 181 penumpang terdiri daripada 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi serta tujuh anak kapal.

Kapten pesawat itu, Bhavye Suneja dilaporkan menghubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta untuk berpatah balik, namun kemudian terputus hubungan dengan menara kawalan, katanya dalam satu kenyataan.

“Crisis centre (pusat bantuan kecemasan) telah dibentuk di Terminal 1B Bandara Soekarno Hatta dan Bandara Depati Amir Pangkal Pinang untuk keluarga penumpang,” kata Pramintohadi.

Menurut laporan media Indonesia, anggota keluarga penumpang kini memenuhi Lapangan Terbang Amir Pangkal Pinang, bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung insiden itu.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, pihak kedutaan masih mendapatkan maklumat lengkap senarai nama dan warga negara penumpang pesawat berkenaan.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :