ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

RMK-11: Pembangunan perlu tekan aspek lindungi alam sekitar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan akan memberi penekanan kepada aspek perlindungan alam sekitar selaras Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan dengan menetapkan garis panduan dan mengkaji semula semua dasar serta perundangan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara menyasarakan kedudukan terbaik antarabangsa dalam amalan pengurusan sumber hijau dengan mensyaratkan semua projek pembangunan perlu mematuhi standard perlindungan alam sekitar dan garis panduan pembangunan.

“Usaha untuk melindungi, memulihara dan memulihkan khazanah strategik negara penting bagi memastikan kemampanan dan sumbangan berterusan kepada pembangunan.

“Dalam hal ini, rangka kerja institusi akan diperkukuh, manakala kapasiti dan keupayaan pemantauan serta penguat kuasaan akan ditambah baik.

“Pelaksanaan pematuhan kendiri terpimpin dalam kalangan industri akan diperluas, manakala masyarakat dan pihak berkepentingan akan terus digalak untuk menghargai serta melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berkenaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Katanya, pewartaan lebih banyak kawasan terestrial, air daratan, pesisir pantai dan marin sebagai kawasan perlindungan akan dipergiat selain menyediakan lebih banyak laluan untuk hidupan liar.

Dalam usaha menangani perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana, katanya, kerajaan akan menyediakan pelan tindakan mitigasi nasional dan meneliti pelaksanaan cukai karbon bagi memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris.

“Langkah itu juga seiring pengurangan penggunaan plastik dan bahan api fosil melalui peningkatan sumbangan tenaga boleh baharu (renewable) dalam penjanaan elektrik.

“Penjanaan elektrik daripada biojisim dan biogas akan digalak, manakala daya maju teknikal serta potensi aplikasi komersial teknologi baharu akan diteroka seperti grid mikro juga penyimpanan tenaga dalam bateri.

“Di samping itu, pengurusan permintaan tenaga akan terus diperkukuh melalui penyediaan pelan induk bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan tenaga, termasuk penggunaan sistem LED,” katanya.

Menyentuh soal pengurusan risiko bencana, katanya, kerajaan akan membangunkan sistem bersepadu bagi ramalan cuaca dan banjir serta amaran awal banjir.


Pengarang :