NASIONAL

RMK-11: PKS dan pertanian mampu sumbang KDNK tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan meletakkan matlamat untuk meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus, pada 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menyedari kepentingan kumpulan ini dalam pembangunan ekonomi dan akan terus berusaha mewujudkan PKS berdaya tahan serta mampan.

Ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu di Dewan Rakyat, beliau berkata, sumbangan PKS kepada industri eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport.

“Menerusi Tonggak 6: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi, tumpuan turut diberikan kepada sektor pertanian dengan keutamaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, menjelang 2020.

“Reformasi subsektor agro makanan akan diteruskan bagi meningkatkan sumbangannya kepada nilai pertanian sebanyak 42.8 peratus, pada 2020 serta mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

“Ini termasuk inisiatif mengurus permintaan dan penawaran makanan, pembangunkan input alternatif serta sumber kekayaan baharu juga memperkenalkan aktiviti pertanian nilai tambah tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, Malaysia akan dijenamakan semula sebagai destinasi pelancongan utama dan memanfaatkan produk ekopelancongan tempatan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan berusaha mewujudkan ekosistem dinamik dan memanfaatkan platform digital seperti teknologi e-dagang untuk mempromosi produk serta perkhidmatan bagi menembusi pasaran antarabangsa.


Pengarang :