NASIONAL

‘Saya dan Tun M tekad bergandingan selamatkan negara’ – Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 12 OKT : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana kecewa melihat ekonomi negara yang semakin rosak.

Atas keperluan memastikan negara kembali ke landasan betul, Anwar berkata beliau bersama-sama Tun Mahathir tekad bergandingan untuk menyelamatkan negara.

“Kami sama-sama runsing melihat ekonomi negara yang makin jahanam, kerana itu kami berdua tidak mahu negara ini jatuh dan membiarkan nasib bangsa tidak terjamin.

“Itulah antara sebab saya hormat pada Tun Mahathir, kami sama-sama memikirkan masalah negara, dan sejak itu saya terfikir, kenapa perlu rungutkan hukuman dan derita selama ini, sedangkan negara makin tenat.

“Saya tidak akan biarkan negara ini tergadai, dan itulah matlamat kami bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di DUN Bagan Pinang, hari ini.

Hadir sama lebih 3,000 penduduk setempat dan turut dihadiri barisan kepimpinan negara.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, kerjasama akrabnya dengan Tun Mahathir sebelum ini pernah membanggakan negara.

“Kami bekerja dalam satu pasukan, pada ketika itu daripada negara mengalami defisit sehingga menjadi lebihan.

“Perumahan tentera dan perumahan polis yang sebelum itu belum wujud, dibangunkan oleh kami berdua,” katanya.


Pengarang :