BERITA UTAMANASIONAL

Pemimpin PAKATAN isytihar harta kepada SPRM

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Semua pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) diwajibkan isytihar harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum atau pada Isnin ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengisytiharan itu perlu dilakukan semua pimpinan sama ada di peringkat pesekutuan mahupun negeri.

“Perkara ini dilakukan bagi menangani masalah rasuah yang berlaku secara berleluasa dalam pentadbiran kerajaan sebelumnya.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berulang kali mengingatkannya dan tidak teragak-agak memecat mana-mana pemimpin yang terbabit dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua bersama moderator, Tan Sri Johan Jaaffar di ibu pejabat Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu membabit semua pimpinan dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri perlu mengemukakan pengisytiharan harta kepada SPRM dengan hari terakhir pada Isnin ini.

Katanya, perkara sebegitu adalah amalan baharu di dalam kerajaan PAKATAN dan tidak pernah berlaku sebelumnya.

“Sebelum ini, semua pemimpin kerajaan hanya perlu membuat pengisytiharan harta kepada Perdana Menteri dan tidak berlaku ketelusan dalam perkara itu.

“Kini semua pemimpin dan Perdana Menteri sendiri akan mengisytiharkan harta dimilikinya kepada SPRM,” katanya.


Pengarang :