SELANGOR

Selangor ‘aktor’ utama di rantau Asia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Visi mengangkat Selangor sebagai ‘smart state’ menjelang 2025 menjadikan negeri termaju itu dianggap sebagai ‘aktor’ utama, di rantau Asia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu berbeza dengan beberapa bandar di Asia Tenggara yang hanya menyasarkan ‘smart city’.

“Kita memikirkan bagaimana menjadikan Selangor lebih trampil ke hadapan kerana kita tidak mahu hanya sebagai jaguh kampung, juara dalam negara tetapi mengembangkan sayap dan pengaruh ke peringkat rantau Asia.

“Ini bukan tugas mudah kerana kebanyakan tempat lain hanya menyasarkan ‘Smart City’,” katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea Dato’ Menteri Besar bersama Media, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Selangor pada hari ini adalah nadi utama atau asas ekonomi negara kerana kemampuannya menjana pertumbuhan ekonomi dengan pesat.

Katanya, ini dapat dilihat apabila Selangor menjadi negeri pertama mampu keluar daripada kemelut kemerosotan ekonomi, pada 1998.

“Keadaan ini menyebabkan Selangor sering menjadi tumpuan media dalam dan luar negara.

“Selain kecekapan mengurus ekonomi negeri, kedudukan Selangor berjiran dengan Kuala Lumpur menambah lagi tarikan negeri itu terhadap media,” katanya.


Pengarang :