SELANGOR

Selangor sasar 15 peratus rizab bekalan air

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 23 OKT: Kerajaan Negeri menetapkan dasar untuk mencapai sasaran rizab bekalan air meningkat kepada 15 peratus sebagai satu inisiatif Perancangan Permintaan Air bagi tempoh jangka panjang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rizab bekalan air ketika ini berada pada tahap amat nipis sekali iaitu pada sekitar kadar 4 peratus manakala sumber air mentah sedia ada semakin terhad berbanding dengan peningkatan permintaan penggunaan yang disasarkan pada kadar 3.5% setiap tahun.

“Kerajaan Negeri maklum berlakunya penyusutan sumber atau resource stress di mana penduduk dunia dijangka mencecah 8.5 bilion menjelang 2030 dengan andaian pertambahan sebanyak 80 juta penduduk setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya di sini, hari ini.

Amirudin berkata, ledakan populasi diiring pertumbuhan ekonomi perlahan bukan sahaja memberi cabaran kepada dunia, malah turut memberi kesan kepada Selangor di dalam usahanya melestarikan pengurusan sumber.

Katanya, tanpa perancangan dan pengurusan berkesan, bumi ini akan perlahan-lahan mati sementara penghuninya berlumba-lumba dengan halobanya merebut sumber yang ada.

Katanya lagi, oleh itu sebagai perancangan dan pengurusan berkesan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menerokai sumber baru yang boleh dibangunkan sebagai sumber air untuk menampung permintaan akan datang.

“Justeru itu, matlamat utama kajian ‘Water Resources, Supply, Demand and Distribution Study For Selangor’ ini adalah untuk dijadikan sebagai satu Pelan Induk bagi mengenal pasti sumber air dan keperluan permintaan air sehingga tahun 2065,” katanya lagi.


Pengarang :