SELANGOR

Selesai isu Kuil Maha Mariamman secara harmoni

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Kerajaan Negeri menasihatkan pemaju dan pengurusan sah Kuil Maha Mariamman Hicom (Seafield) untuk menyelesaikan isu di kawasan terbabit secara harmoni serta mematuhi penghakiman persetujuan ditetapkan.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, isu pemindahan kuil berkenaan sengaja diputar belit, sekali gus memberi gambaran ia akan dirobohkan.

Katanya, hal itu kerana keputusan mahkamah yang berpihak kepada pengurus sah kuil terbabit yang sebelum ini menyatakan persetujuannya untuk memindahkan rumah ibadat berkenaan.

“Perbalahan antara pengurus sah dan tidak sah menimbulkan kucar-kacir dalam kalangan masyarakat terutama penganut agama Hindu.

“Saya percaya mereka perlu duduk bersama untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama dan menghormati penghakiman persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media isu tanah rumah ibadat bukan Islam Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Devasthanam, di SUK, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, keputusan Kerajaan Negeri adalah berdasarkan penghakiman persetujuan selagi ia tidak terbatal.

Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menjaga keharmonian dan hak semua agama, malah ia terbukti apabila ratusan tapak tanah kuil sudah diwartakan sejak 2008.

“Dalam perkara ini, memandangkan adanya penghakiman persetujuan bertarikh 11 Mac 2014 antara Kerajaan Negeri, pengurusan kuil dan pemaju (One City Development Sdn Bhd), maka menjadi tanggungjawab kita untuk mematuhinya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pihak yang menuduh berlakunya salah guna kuasa atau sebarang kejanggalan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, pemindahan kuil terbabit mendapat tentangan daripada beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan arahan berkenaan.

Bagi menyelesaikannya, Kerajaan Negeri menyediakan tanah seluas 1.5 ekar dengan jarak tiga kilometer dari lokasi asal untuk pembinaan baharu.

Pemaju turut menyumbang RM1.5 juta untuk mereka menjalankan aktiviti keagamaan.


Pengarang :