SELANGOR

Siap sedia hadapi gangguan bekalan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang diingatkan untuk bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, ia berikutan hentitugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi pelaksanaan kerja-kerja berjadual penggantian peralatan bermula jam 9.00 pagi esok.

Menerusi kenyataan, Air Selangor menjangkakan kerja-kerja berkenaan dijangka mengambil masa selama 12 jam.

Katanya, selepas kerja-kerja penggantian peralatan siap dan loji beroperasi semula, proses meningkatkan paras kolam-kolam yang terbabit serta meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan berlangsung bagi proses pemulihan berperingkat.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terlibat berbeza dan bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

“Air Selangor akan mengambil segala usaha untuk mempercepatkan kerja-kerja penggantian peralatan dan pemulihan bekalan,” katanya.

Katanya, lapan Pusat Khidmat Setempat (PKS) diaktifkan dan lori-lori tangki air digerakkan bagi memberikan bantuan kepada pelanggan terjejas.

“Kerjasama sepanjang tempoh hentitugas dan gangguan bekalan air berjadual ini amatlah dihargai,” katanya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang di www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, untuk makluman yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan henti tugas itu akan bermula pada 9 hingga 12 Oktober bagi kerja menganti peralatan kritikal dalam usaha menambahbaik perkhidmatan bekalan air.

 


Pengarang :