NASIONAL

Syarikat telco perlu kota janji, turunkan harga pakej

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Persekutuan mahu syarikat telekomunikasi mengotakan janji dan memastikan pakej jalur lebar yang baharu dapat dinikmati pelanggan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya sudah meneliti pakej berkenaan, namun sebaliknya, ia tidak menurunkan harga perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada.

“Seperti dinyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung pakej-pakej ini, saya mendapati ia tidak menurunkan harga perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada.

“Ini bermaksud mereka tidak dapat menikmati manfaat daripada pakej baharu ini dengan serta-merta.

“Bagi mengatasi masalah, saya lihat tiada sebarang cadangan di utarakan dan masalah pengguna perkhidmatan Streamyx perlu ditangani dengan kadar segera,” katanya di laman facebooknya, hari ini.

Sehubungan itu, Gobind berkata, beliau akan bertemu wakil syarikat telekomunikasi untuk membincangkan perkara terbabit dalam masa terdekat.

Terdahulu, harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus pada hujung tahun ini.

Penurunan harga itu adalah berikutan pelaksanaan standard mandatori harga capaian (MSAP) sejak 8 Jun lalu.

Semalam, Telekom Malaysia (TM), Maxis, Celcom dan TIME dotCom (TIME) mula menawarkan pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada harga kurang daripada RM100.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penurunan harga dibuat empat syarikat telekomunikasi itu lanjutan daripada penguatkuasaan Standard Mandatori Mengenai Capaian (MSAP).

Pakej permulaan itu adalah seperti berikut :

TM -30 Mbps RM79 (sekarang), RM139 (sebelum)
Celcom – 40 Mbps RM80 (sekarang), RM180 (sebelum)
Maxis – 30 Mbps RM89 (sekarang), RM139 (sebelum)
TIME – 100 Mbps RM99 (sekarang), RM149 (sebelum)


Pengarang :