NASIONALSUKANKINI

Timbalan Speaker Dewan Rakyat tawar diri bertanding Presiden KLFA

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), pada 18 November ini.

Hasrat itu diumumkan dalam sidang media, di Lobi Parlimen dan menyifatkan pengalamannya bersama pasukan Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang menjuarai edisi 2017 selepas menanti hampir 15 tahun mampu membawa ‘The Hawk’ kembali menyengat, pada musim hadapan.

“Saya diminta banyak pasukan sekitar Kuala Lumpur untuk bertanding jawatan Presiden KLFA dan saya bersedia menawarkan diri.

“Untuk tempoh lima tahun ini, saya akan berada di Kuala Lumpur, jadi tidak menjadi masalah buat saya menerajui KLFA.

“Tugas saya di Dewan Rakyat juga tidak terganggu memandangkan persidangan hanya tiga atau empat kali setahun, tambahan ada kakitangan yang membantu,” katanya.

Tempoh pencalonan dibuka hari ini dan berakhir dua minggu lagi sebelum pemilihan dilakukan, bulan hadapan.

Mohd Rashid berkata, sebagai anak jati Pulau Pinang, beliau mampu membantu membangunkan semula KLFA dan mengembalikan kecemerlangan seperti dilakukan Allahyarham Tan Sri Elyas Omar.

Dalam sidang media sama, beliau memaklumkan kini menjadi penasihat pasukan bola sepak kakitangan Parlimen bagi merancakkan lagi aktiviti sukan.


Pengarang :