SELANGOR

3,443 kera ditangkap manakala 9,296 dipindahkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 NOV: Gangguan hidupan liar seperti kera menunjukkan kadar peningkatan sejak akhir-akhir ini ekoran pembangunan rancak di Selangor.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, sebanyak 3,443 ekor kera ditangkap dan 9,296 kera turut dipindahkan sehingga September lalu menerusi Program Tangkapan Kera Swasta.

Katanya, Jabatan Perhilitan mencuba kaedah keberkesanan pengawalan melalui rekaan inovasi perangkap yang boleh digunakan untuk memerangkap bilangan kera disamping menjimatkan kos dan masa.

“Peningkatan jumlah aduan yang diterima saban tahun menjadi cabaran kepada Kerajaan Negeri dalam menangani konflik hidupan liar ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhilitan menjalankan pelbagai inisiatif dan langkah pengawalan bagi mengatasi masalah gangguan hidupan liar ini,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad.

Loy Sian berkata, langkah lain yang turut diambil ialah mengawal populasi konflik dengan menjalankan tindakan penakaian (culling) yang merupakan kaedah biasa yang diamalkan dalam pengurusan hidupan liar.

Katanya, kaedah itu digunapakai bagi mengawal populasi melalui pengurangan secara terkawal spesies konflik yang mendatangkan aduan gangguan yang tinggi.

“Menjalankan operasi basmi musuh tanaman bersama penduduk setempat dan stakeholder yang terbabit melalui kerjasama yang dijalankan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat semasa menjalani operasi itu.

“Antara lain pengawal secara tangkap pindah dimana spesies konflik itu akan ditangkap menggunakan perangkap pindah dan memindahkan ke kawasan hutan yang lebih luas dan jauh dari penempatan manusia,” katanya.


Pengarang :