BERITA UTAMASELANGOR

Charles Santiago pengerusi baru SPAN

CYBERJAYA, 1 NOV: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menerusi kenyataan dikeluarkan SPAN.

Suruhanjaya itu berkata, pelantikan Charles bagi menggantikan pengerusi terdahulu, Datuk Liang Teck Meng yang meletakkan jawatannya, pada 27 April lalu.

“Pelantikan ini diharap dapat menyuntik iltizam bagi melaksanakan tanggungjawab dan objektif SPAN dalam merealisasikan polisi industri perkhidmatan air negara.

“Ini termasuk memandu SPAN bagi memastikan sistem kawal selia dinamik dan progresif untuk menggalakkan pembangunan serta mengurus impak industri perkhidmatan air terhadap masyarakat juga persekitarannya,” katanya.

Pada masa sama, SPAN turut mengucapkan terima kasih kepada Teck Meng atas sumbangan, pengalaman dan idea bernasnya ke arah mencapai aspirasi, visi serta misi suruhanjaya terbabit.

SPAN dipertanggungjawabkan mengawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 (Akta 655) yang berkuat kuasa, pada 1 Januari 2008.

Ia berperanan menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air serta perkhidmatan pembetungan, di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya juga Labuan.


Pengarang :