SELANGOR

Industri busana santun di Bandar Baru Bangi semakin jadi tumpuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri disarankan supaya memberi perhatian terhadap pembangunan industri tekstil bagi segmen busana santun kerana mampu memberi pulangan yang baik untuk ekonomi negeri.

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, perkara ini dapat dilihat terhadap sambutan orang ramai di kawasan perniagaan busana santun di Bandar Baru Bangi.

“Bandar Baru Bangi semakin sesak dengan kehadiran orang ramai termasuk daripada luar kawasan di mana ini sedikit menyukarkan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Beliau yang merupakan pembahas terakhir berkata, antara premis yang menjadi tarikan di Bandar Baru Bangi termasuklah perniagaan Jakel Trading.

Katanya, industri busana santun di negara Asia khasnya di Bandung, Indonesia mendapat perhatian sehingga menjadi salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, industri ini mempunyai potensi dibangunkan sekaligus menjadi salah satu sumber ekonomi negeri itu.


Pengarang :