SASTERA

Kuasa sebuah cerita

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

CERPEN membesarkan kita dan kita dibesarkannya. Daripada cerita-cerita yang pernah kita dengar, kita mengutip banyak hal baik pengajaran, hiburan, atau pengalaman silam. Ada yang kata cerpen lebih awal disebar luas di Amerika; ada yang kata ia berakar di Jepun. Tapi, saya yakin cerpen lebih awal lagi daripada itu menjangkau ke peringkat pratamadun sesuatu bangsa. Kita boleh mengambil contoh bagaimana susunan kisah-kisah di dalam Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah.

Kedua-dua khazanah penting bangsa kita itu bukan berbentuk seumpama novel yang menyatukan cerita atau bersifat berangkai tetapi lebih berbentuk kumpulan cerita. Ia memperisakan sejarah bangsa dengan magis, jenaka serta permainan bahasa indah. Sebab itu, dalam Sulalatus Salatin kita dapat menemui kisah ular Saktimuna, Badang yang gagah, adik-beradik cantik Wan Empuk dan Wan Malini, Sang Sapurba, kerajaan Melaka, Tun Teja dan serangan Feringgi.

Sebelum kita terlebih dulu membaca Sulalatus Salatin dalam bentuk buku, saya percaya sebahagian besar daripada kita diwarnakan dengan cerita-cerita ini daripada mulut emak atau nenek kita pada waktu-waktu tertentu seperti sebelum tidur, contohnya. Dan dengan cerita-cerita itulah, yang berskala pendek, menyusup imaginasi di kepala dan membina bangunan tidur.

Sebahagian besar masyarakat membudayakan sesi cerita sebelum tidur atau bed time story. Perkara itu bukan sekadar bertujuan memudahkan seseorang kanak-kanak untuk tidur tapi ia turut dianggap sebagai suatu hal keintiman keluarga dan pengisian masa yang berkualiti. Banyak filem atau drama terutamanya dari Barat yang memaparkan babak sedemikian. Tidakkah yang diceritakan kepada anak sebelum tidur berupa cerita pendek?

Kebiasaannya cerita-cerita yang kita dengar sewaktu kecil penuh dengan pengajaran tapi disulamkan dengan pengembaraan, magis dan juga keseronokan. Cerita-cerita tersebut mengisi ruang imaginasi kita dan menggerakkan roda keseronokan untuk menuju kepada sikap keyakinan diri, kepercayaan kepada kebolehan serta keyakinan kepada kebaikan. Dengan nilai moral yang disisip secara tidak langsung cerpen membesarkan seorang manusia dengan kemanusiaannya tersendiri. Begitulah hebatnya kuasa sesebuah cerita. Begitulah hebatnya gubahan cerpen.

Ada banyak sebab mengapa kita suka kepada cerpen. Antaranya kerana ia pendek. Pada zaman yang singkat pada waktu dan terikat pada tubuh jadual kerja, tidak ramai yang mendedikasikan masanya untuk membaca buku. Namun, lain ceritanya dengan cerpen. Kerana tempoh bacaan cerpen tidak memakan masa yang lama; maka cerpen masih ditulis dan dibaca. Dengan kemunculan internet, cerpen terus berkembang dan nampaknya tidak berhenti. Laman web Cukaria sebagai contoh, menerbitkan cerpen tiga kali seminggu. Begitu juga Selangor Kini, Jalan Telawi, Portal Ilham, I Am Lejen dan banyak halaman Facebook penerbit buku yang turut menerbitkan cerpen daripada penulis mereka sebagai strategi mengikat pembaca.

Malah dengan adanya aplikasi Wattpad dan Novel Plus, ribuan penulis lahir dan setiap hari banyak cerita baru tersangkut di muara internet. Cerpen boleh dibaca semasa berdiri di dalam gerabak MRT, menunggu ketibaan Grab atau di dalam bas ekpsres sewaktu pulang ke kampung. Kita tidak perlu terikat dengannya seperti novel yang mengerah masa lebih panjang untuknya. Kata Lorrie Moore, “cerpen adalah percintaan dan novel ialah perkahwinan.” Perumpamaan itu adalah gambaran tepat terhadap perbezaan cerpen dengan novel dari segi kapasitinya; idea, kepanjangan dan tempoh bacaan.

Selagi ada manusia selagi itulah adanya cerita, adanya cerpen. Dan kepesatan internet, perkembangan aplikasi laman sosial, memberi kita aneka pilihan cerpen. Yang membezakannya adalah berkualiti atau tidak. Dan satu lagi faktor juga adalah populariti si penulisnya. Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam eseinya menulis, sekarang adalah zaman setiap orang berasakan dirinya penting dan perlu menuliskannya. Jadi, diari bukan menjadi perbuatan rahsia lagi. Dengan kemajuan internet, semua orang diberitahu ke mana kita pergi, makan, minum, siapa pasangan kita dan selalu juga meluahkan perasaan diri.

Dengan corak sebegini, sempadan realiti dan fiksyen menjadi terlalu nipis. Kadangkala segala yang kita baca di ruangan hantaran Facebook atau ciapan Twitter terasa seperti fiksyen. Apakah ia jatuh dalam kategori fiksyen atau sekadar cerita sebenar yang ditokok tambah? Hal ini menjadi persoalan baharu tentunya. Sementara itu di sisi lain, genre autofiksyen makin berkembang. Apakah ia tempias daripada kepesatan internet? Tiada jawapan yang pasti.

Tetapi, bagaimanakah realitinya cerpen dalam bentuk buku? Kalau di ruang maya genre itu mendapat sambutan menggalakkan dan ramai pembacanya, justeru kita menyangka tentulah juga dengan jualan buku himpunannya. Namun, banyak tulisan melaporkan betapa antologi cerpen gagal di kedai-kedai buku. Lebih banyak novel terjual dan terpamer di rak.

Di Malaysia sendiri situasinya menyedihkan. Baru-baru ini, ITBM yang banyak menerbitkan kumpulan cerpen khabarnya tidak akan menerbitkan lagi karya asli penulis tempatan. Syarikat popular Buku Fixi juga tidak lagi meneruskan lpenerbitan antologi Cerpen Terbaik yang dimulakan sejak 2014 kerana sambutan tidak memuaskan. Malah penerbit ranggi, Roman Buku yang banyak menerbitkan kumpulan cerpen pada 2017 juga berura-ura untuk tidak menerbitkan lagi kumpulan cerpen walaupun buku-buku mereka berkualiti belaka. Kita boleh katakan majoriti penerbit mengalami kemerosotan jualan dan orang ramai juga boleh beri seribu sebab mengapa mereka tidak membeli buku. Namun buku yang menghimpunkan cerpen memang tidak diminati walau ketika situasi ekonomi kita kukuh sekalipun.

Saya percaya ini sikap pembaca sendiri yang lebih suka tinggalkan keseronokan membaca cerpen itu di ruang lain. Dan ini bagi saya berkait rapat dengan fikiran pembaca bahawa cerpen itu sekadar sebahagian daripada ruang lain yang menempatkan berita, rencana atau iklan. Saya tidak fikir akan adanya penyelesaian yang benar-benar tuntas untuk melariskan sesebuah buku cerpen. Kalau hendak bercakap tentang strategi pemasaran, banyak sudah yang diperkatakan dan dilakukan oleh ramai pihak.

Mungkin jawapan paling biasa kita dengar, ia berakar dari budaya pendidikan baik di rumah atau di sekolah. Betapa budaya membaca dan mengenal penulisan yang baik itu perlu sentiasa disegarkan seiring perkembangan zaman dan menitikberatkan nilai-nilai kemanusiaan. Tanggungjawab ini dipikul penulis dan penyunting yang peka, tentunya. Jika tidak, kita, pembaca, sekadar membesar dan tidak didewasakan oleh cerpen.  


Pengarang :