SELANGOR

Kursus tingkat keupayaan Ketua Kampung

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri akan mengadakan Kursus Pemantapan Ketua Kampung dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kecekapan mereka berhubung urusan pentadbiran.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Tradisi, Rodziah Ismail berkata, konsep penarafan bintang juga akan mula diperkenal dan dimulakan dalam pentadbiran kampung tradisi, bermula tahun hadapan.

“Konsep Penarafan Bintang (Star Bintang) juga akan mula diperkenal dan dilaksanakan dalam pentadbiran Kampung Tradisi Negeri, bermula tahun hadapan.

“Ia akan menilai empat elemen penting dalam pentadbiran kampung membabitkan pengurusan mesyuarat, pengurusan kewangan, inovasi dan kreativiti serta elemen kemasyarakatan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada sama sama, katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengetengahkan konsep pengendalian komuniti melalui sesi dialog berfokus seperti yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Institusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung perlu sentiasa diberdayakan kerana ia dekat dengan akar umbi.

“Secara tidak langsung, institusi ini menjadi sistem penyampaian untuk menghebahkan dan melaksanakan dasar kerjaan yang berkesan kepada penduduk kampung dari masa ke masa,” katanya.


Pengarang :