NASIONAL

Perkasa TVET, selesai isu pertindihan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 NOV: Pertindihan tugas dalam mengendalikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) membabitkan tujuh kementerian adalah isu utama yang perlu diberi perhatian Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Gerakan TVET Nasional, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu pertindihan yang berlaku bagi memastikan pendidikan itu diperkasa sepenuhnya.

Katanya, institusi di bawah TVET swasta turut menghadapi cabaran survival ekoran pertindihan program yang ditawarkan institusi kerajaan.

“Antara isu besar yang dihadapi pengendali pusat latihan swasta adalah mendapatkan kelulusan bagi pemohon pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk menampung pengajian.

“Kita mementingkan dua konsep iaitu konsidalisasi dan rasionalisasi. Jika tujuh kementerian bertindih, bagaimana kita mahu koordinat bidang ini,” soalnya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Pembentangan Cadangan Kerangka TVET Nasional, di Ibu Pejabat MPN, di sini.

Tujuh Kementerian itu ialah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (kini Kementerian Pembangunan Luar Bandar), Kementerian Pendidikan (kini Kementerian Pelajaran), Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pelajaran) dan Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (kini Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar).

Terdahulu, dianggarkan 30,000 pelajar masih menunggu jawapan bagi permohonan pinjaman PTPK.

Secara keseluruhannya, terdapat 1,901 institusi awam dan swasta di seluruh negara yang menawarkan 2,480 kursus TVET.


Pengarang :