NASIONAL

Petani tetap terima bantuan, subsidi

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memberi jaminan golongan petani akan tetap menerima bantuan dan subsidi meskipun peruntukan kementeriannya agak terhad.

Beliau berkata dengan strategi yang akan dilaksanakan kementeriannya, peruntukan itu akan sampai kepada setiap golongan sasaran.

Malah, katanya, langkah pemutihan yang sedang dijalankan membolehkan hanya mereka yang benar-benar layak menerima peruntukan itu.

“Sekiranya kerja pemutihan tidak dilaksanakan, ketirisan akan tetap berlaku,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, proses pemutihan itu dibuat antaranya terhadap golongan petani yang tidak lagi mengusahakan sawah selain tanah-tanah mereka dibangunkan sebagai projek perumahan.

Salahuddin turut menegaskan jumlah peruntukan kementerian itu sebelum ini berbeza setiap tahun dan tidak timbul persoalan bahawa kerajaan mengetepikan nasib golongan petani.

“Ada masa bajet itu tinggi, ada masa bajet itu direndahkan sebab faktor-faktor ekonomi…sebagai menteri pada hari ini saya akan pastikan subsidi itu dapat disampaikan,” katanya.

Sidang dewan bersambung pada Rabu ini.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :