SELANGOR

Smart Kilang Tanpa Kebenaran garis panduan komprehensif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 NOV: Program Pemutihan Kilang Haram akan diteruskan dan dijenamakan semula sebagai Program Smart Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) 2.0, bermula tahun hadapan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, bagi merealisasikan KTK 2.0, satu bengkel garis panduan syarat teknikal minima program smart KTK 2.0 bakal diadakan bagi memperincikan insentif yang lebih komprehensif.

Katanya, langkah berkenaan bertujuan menarik pemilik tanah berdaftar dan pengusaha kilang untuk menyertai program itu.

“Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi jabatan teknikal juga bersetuju membuat pindaan antaranya membabitkan syarat kebenaran merancang, kategori bangunan, kejuruteraan dan permohonan lesen pengoperasian oleh Jabatan Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar.

“Kertas penyediaan akan dimuktamadkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Annex, di sini.

Katanya, program pemutihan sebelum ini pernah dilanjutkan sebanyak enam kali sejak Julai 2006 hingga 2015.

Pada masa sama, Sze Han berkata, setakat ini sebanyak 630 buah kilang dibersihkan Pejabat Tanah dan Glian Negeri bagi tempoh 2016 hingga 2017.

“Ia membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (91 buah), Majlis Perbandaran Selayang (23), Majlis Perbandaran Kajang (236), Majlis Perbandaran Klang (100) dan Majlis Perbandaran Sepang (55).

“Manakala, Majlis Daerah Kuala Selangor (7), Majlis Daerah Kuala Langat (98), Majlis Daerah Hulu Selangor (16) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (4),” katanya.


Pengarang :