Selangorkini
PELANCONGAN SELANGOR

Hos Komuniti Selangor bantu jana pendapatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 DIS: Minat mendalam untuk meneroka bidang pelancongan membuatkan Ainin Nadzirah Khairul Azman menyertai Program Hos Komuniti anjuran Tourism Selangor.

Ainin, 24, berkata melalui program berkenaan, beliau mahu sektor pelancongan kawasan kampungnya di Sabak Bernam semakin dikenali dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara.

“Jika sebut Sabak Bernam, pelancong hanya terbayangkan Sekinchan sahaja, sedangkan hakikatnya masih banyak kawasan menarik lain boleh diteroka seperti Lubuk Pusing, pembuatan madu lebah asli dan aktiviti menjebak burung.

“Setelah menyertai Program Hos Komuniti, ia membolehkan peserta seperti saya mendapat lesen pemandu pelancong yang sah dan akhirnya cita-cita untuk memperkenalkan kampung sendiri kepada orang ramai akan tercapai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Graduasi Hos Komuniti Selangor 2018 di Hotel Bluewave, semalam.

Kira-kira 21 graduan berjaya menamatkan kursus dijalankan Tourism Selangor dengan bantuan Kerajaan Selangor.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari dan Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

Sementara itu graduan terbaik Program Hos Komuniti, A Rubendran, 20 berkata, beliau mula tertarik dengan kursus berkenaan apabila diiklankan melalui laman sesawang Tourism Selangor.

Katanya, program berkenaan membantu aktiviti pelancongan setempat ditingkatkan selain membolehkan pesertanya mendapat pendapatan sampingan melalui sektor terbabit.

“Sebagai contohnya di Klang, ramai yang sekadar tahu ia menjadi tumpuan sektor perindustrian sahaja, namun hakikatnya Klang mempunyai banyak tempat menarik.

“Saya pasti ada yang tidak tahu bahawa Kompleks Sukan Pandamaran dahulunya adalah lapangan terbang pertama di Selangor, sementara Nasi Bamboo Beriani paling terkenal berada di Klang.

“Lokasi ‘hidden gems’ sebeginilah yang akan saya perkenalkan kepada pelancong di luar sana,” katanya.


Pengarang :