Selangorkini
SELANGOR SUKANKINI

Dukung usaha Raja Muda perkasa industri sukan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Negeri komited mendukung usaha DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam memperkasakan industri sukan sekali gus, menjalin kerjasama erat.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, langkah terbaru Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membentuk jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran dari aspek pembangunan merupakan satu langkah tepat.

Katanya, langkah terbaru FAS itu juga mencerminkan usaha gigih Presidennya, Tengku Amir Shah bagi membawa Selangor kembali muncul sebagai kuasa bola sepak disegani di dalam negara dan rantau Asia.

“Bidang sukan kini semakin pesat membangun sehingga muncul sebagai satu industri baru bernilai tinggi yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada belia.

“Keadaan ini mendorong saingan dalam sukan di negara ini semakin kompetitif sekali gus, menuntut semua persatuan sukan atau pihak terbabit lebih proaktif meneroka bidang baru yang sebelum ini dilihat asing untuk kekal bersaing,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, Memorandum Persefahaman yang ditandatangani itu merupakan perkongsian saling menguntungkan dan akan meningkatkan prestasi dan pembangunan pemain FAS.

Katanya, manakala UiTM pula menyalurkan kepakaran serta menyediakan data maklumat boleh digunakan untuk penyelidikan, penerbitan dan tujuan pemasaran.

“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak, memberi sokongan penuh.

“Saya turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri untuk berkerjasama rapat dengan baginda bagi membangunkan sukan di Selangor khasnya dalam misi mengembalikan era kegemilangan bola sepak negeri ini,” katanya.

 


Pengarang :