NASIONAL

Kerajaan peruntuk RM164.78 juta bantu penoreh, pekebun kecil

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Kerajaan memperuntukkan RM164.78 juta bagi membiayai Bantuan Musim Tengkujuh kepada 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Jumlah ini meliputi 255,997 pemilik pengusaha iaitu pekebun yang mengusahakan sendiri kebun dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar serta 18,642 penoreh bukan pemilik.

“Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM600 dan akan dibayar dalam dua peringkat iaitu RM300 pada akhir tahun ini dan RM300 lagi pada awal 2019,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di dalam satu kenyataan.

Beliau menambah kementerian tersebut beriltizam untuk terus memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan peneroka dan pekebun kecil getah bagi merealisasikan usaha pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Kerajaan amat menyedari bahawa penoreh dan pekebun kecil getah adalah mereka yang terkesan secara langsung berikutan kemerosotan harga komoditi getah di peringkat global.

“Keadaan ini semakin meruncing akibat musim tengkujuh yang menjejaskan penjanaan ekonomi mereka,” kata Mohamed Azmin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :