GLOBAL

Mangsa tsunami kekurangan air bersih, ubat

CARITA, Indonesia 25 DIS: Bantuan untuk mangsa tsunami di pesisir pantai Indonesia mulai diterima hari ini tetapi sukarelawan yang bertugas memberi amaran bekalan air bersih dan ubat semakin berkurangan di pusat pemindahan yang sesak dengan ribuan mangsa.

Petugas kemanusiaan bimbang bakal berlaku krisis kesihatan ketika jumlah kematian yang tercetus akibat bencana gempa bumi itu meningkat hampir 400 orang dengan beribu-ribu lagi yang kehilangan tempat tinggal terpaksa dipindahkan.

“Kebanyakan kanak-kanak demam, sakit kepala dan bekalan air tidak mencukupi,” kata Rizal Alimin, doktor yang bertugas untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Aksi Cepat Tanggap, di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan sementara.

“Bekalan ubat kami sedikit berbanding biasa, ia tidak sihat untuk mangsa pemindahan. Bekalan air juga tidak mencukupi. Mereka memerlukan makanan dan kebanyakan mangsa tidur di atas lantai,” katanya.

Ombak tsunami mengganas pada waktu malam dan amaran awal tsunami tidak dikeluarkan, memusnahkan hotel dan penempatan di kawasan pantai sekitar selatan Pulau Sumatera dan Jawa.

 

Kebanyakan lebih 5,000 mangsa ombak ganas itu masih takut untuk pulang ke rumah kerana bimbang bencana yang sama berulang.

“Saya sudah berada di sini tiga hari. Saya takut kerana rumah kami terlalu hampir dengan pantai,” kata Neng Sumarni,40, yang terpaksa tidur di lantai sekolah bersama suami dan tiga lagi anak-anak mereka bersama puluhan mangsa yang lain.

Seorang lagi sukarelawan kumpulan Tagana, Abu Salim berkata, petugas bantuan berusaha keras untuk menstabilkan situasi.

“Tumpuan utama kami hari ini adalah untuk membantu mangsa ditempatkan di pusat perlindungan sementara dengan menyediakan dapur dan mengagihkan bantuan ke setiap tempat serta khemah di tempat yang sesuai,” katanya kepada AFP.

Katanya, kebanyakan mangsa masih belum mendapat bekalan air bersih, kebanyakan mangsa melarikan diri ke kawasan tanah tinggi dan mereka masih gagal menjumpai mereka.

SUMBER: AFP


Pengarang :