Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
SELANGOR

Petaling catat kes tertinggi denggi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 DIS : Petaling menjadi antara lokasi tertinggi kes denggi di Selangor, diikuti Klang, Hulu Langat dan juga Gombak.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kes denggi pada minggu ke 51 sehingga 22 Disember lalu mencatatkan peningkatan daripada 1,262 kepada 1,462 kes.

Katanya, trend peningkatan itu berlaku disebabkan kekerapan cuaca hujan serta musim cuti persekolahan.

“Tidak dinafikan kes denggi pasti akan meningkat pada hujung tahun memandangkan masyarakat kita akan keluar bercuti dan meninggalkan rumah masing-masing, jadi pada waktu itu nyamuk akan membiak sekali gus menyebabkan denggi semakin merebak.

“Oleh sebab itu, saya ingin nasihatkan orang ramai supaya bersihkan rumah anda terlebih dahulu sebelum pergi bercuti bagi mengelakkan kes tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan saban minggu, namun jumlah kumulatif kes didapati menurun berbanding tahun lalu.

Katanya, mengikut statistik, sebanyak 44,731 dicatatkan tahun lalu sementara 43,767 pada tahun ini.

“Sementara bagi daerah Hulu Selangor dan Sabak Bernam pula tiada peningkatan berlaku.

“Saya berharap supaya kes denggi akan terus menurun dan ianya amat memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat,” katanya.


Pengarang :