GLOBAL

Protes di Perancis semakin buruk, lebih 700 ditahan

PARIS 9 DIS: Polis Perancis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menahan lebih 700 penunjuk perasaan semalam apabila himpunan antikerajaan bertukar kecoh buat tiga minggu berturut-turut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez menyatakan kira-kira 31,000 penunjuk perasaan menyertai bantahan di seluruh Perancis semalam termasuk 8,000 orang di Paris.

“Di peringkat kebangsaan, lebih 700 orang telah ditahan termasuk mereka di kota Paris,” katanya.

Golongan penunjuk perasaan mula berhimpun sejak awal pagi di Champs-Elysees iaitu lokasi rusuhan paling buruk di ibu kota Perancis sejak beberapa dekad lalu.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan dilaporkan mendesak agar Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk meletak jawatan dan sebilangan yang lain pula mengecam pemimpin itu kerana mengutamakan polisi bagi golongan kaya di negara itu.

Macron pada minggu lalu akur kepada desakan penunjuk perasaan yang meminta bantuan diberikan kepada golongan miskin dan kelas pertengahan termasuk membatalkan satu rancangan kenaikan cukai minyak dan tarif elektrik.

Seramai 89,000 anggota polis termasuk unit pencegahan rusuhan dan beberapa kenderaan berperisai ditempatkan di seluruh Perancis sejak kelmarin untuk membantu mengawal situasi.

Anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan ke atas orang ramai yang tiba di stesen-stesen komuter dan lokasi panas khasnya di Champs-Elysees dan monumen Bastille.

Minggu lalu, satu protes besar-besaran menyaksikan sebanyak 200 buah kereta dibakar dan tugu peringatan tentera Arc de Triomphe dirosakkan.

Bantahan itu juga mencemarkan imej Perancis selain mengheret kerajaan pimpinan Macron ke dalam kancah krisis terburuk Perancis setakat ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Edouard Philippe kelmarin bertemu wakil kumpulan penunjuk perasaan yang kemudiannya menggesa orang ramai agar tidak menyertai bantahan beramai-ramai itu.

Jurucakap itu, Christophe Chalencon menyatakan Philippe sudah mendengar permintaan mereka dan beliau berjanji membawa perkara itu kepada Macron.

SUMBER: Reuters/AFP


Pengarang :