GLOBAL

Puluhan ribu penduduk bantah projek kereta api laju Itali

TURIN 9 DIS: Puluhan ribu penduduk mengadakan tunjuk perasaan di Itali, semalam, membantah projek kereta api laju yang bakal menghubungkan bandar Lyon, Perancis ke Turin kerana ia membazir wang kerajaan.

Projek itu membabitkan pembinaan terowong 57.5 kilometer merentasi banjaran Alps Perancis dan Itali untuk memendekkan waktu perjalanan daripada empat jam kepada dua jam.

Kos projek itu dijangka sebanyak AS$8.6 bilion (RM35.82 bilion) yang akan ditanggung Kesatuan Eropah (40 peratus, Itali (35 peratus) dan Perancis (25 peratus).

 

Sumber: Twitter

Penganjur tunjuk perasaan berkata, kira-kira 70,000 orang menyertai perhimpunan itu, bagaimanapun polis tidak menyatakan jumlah mereka yang turut serta.

Penunjuk perasaan memegang sepanduk menyatakan ‘Tak perlu TAV’ atau ‘Tak perlu kereta api laju’, ‘Kami menentang pembaziran’ dan ‘Mari lindung wilayah dan alam sekitar’.

“Ada banyak perkara penting perlu dilabur seperti hospital, sekolah dan jalan raya. Laluan kereta api sekarang tidak digunakan sepenuhnya,” kata Maurizio Alfero, 60.

Alfero berkata, beliau terpaksa menunggu sehingga September tahun depan untuk mendapatkan temu janji hospital kerana kekangan perkhidmatan kesihatan kerajaan.

SUMBER: AFP


Pengarang :