SELANGOR

Selesaikan isu banjir segera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Semua projek sistem saliran terbengkalai yang menyebabkan banjir di negeri ini dijangka akan diselesaikan tahun hadapan.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri memerlukan tempoh bagi menyelesaikan isu berkenaan ke arah mengurangkan masalah banjir.

Katanya, pencerobohan rizab sungai dan pengambilan tanah serta penempatan setinggan berhampiran sungai merupkan punca projek tidak dapat disiapkan.

“Ini masalah utama kita apabila berlaku pencerobohan tanah, susah untuk membuat pembersihan kerana tidak mempunyai laluan.

“Contohnya, masalah di Sungai Kedondong dan di Paya Jaras sudah berlarutan tiga tahun masih tidak dapat diatasi kerana ia berpunca daripada masalah gangguan tanah rizab sungai di situ,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Izham berkata, Kerajaan Negeri akan memberi alternatif kepada pemilik setinggan supaya penambahbaikan sistem saliran dapat dilakukan.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat dan bersetuju untuk menawarkan Rumah SelangorKu.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka enggan dan menolak tawaran diberikan, kerajaan akan bertegas dan perintah perobohan kawasan setinggan itu akan dikeluarkan,” katanya.

Terdahulu, Laporan Audit Negara menegur Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor kerana tidak dapat menyiapkan beberapa projek dengan berkesan dalam tempoh asal kontrak hingga menjadi punca berlakunya kejadian banjir.

Hanya 33 daripada 75 projek dirancang dapat disiapkan bagi tempoh 2014 hingga 2017.


Pengarang :