SELANGOR

MDKL kenal pasti lokasi sesuai bina terminal bas, teksi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk membina terminal bas dan teksi.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, ia akan dilaksanakan di tapak kemudahan awam berkeluasan kira-kira 0.81 hektar.

“Penyediaan pengangkutan awam yang efisien dan menyeluruh adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pembangunan pengangkutan yang dirancang bagi memastikan tarafnya ditingkatkan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Katanya, bagi perkhidmatan bas di Kuala Langat, laluan terbabit dengan masalah operasi syarikat bas ditukar dan digantikan dengan syarikat lain yang lebih berkemampuan.

Katanya, MDKL turut mengadakan perbincangan bersama wakil Ahli Parlimen Kuala Langat dan Agensi Pengangkutan Awam Darat berhubung perkara berkenaan.

“Ia termasuk masalah ketiadaan terminal bas, di Kuala Langat disebabkan penutupan laluan serta terminal Bas Banting oleh syarikat berkenaan.

“Lanjutan daripada itu, penempatan sementara untuk kemudahan perkhidmatan bas henti-henti disediakan MDKL,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi memantau efisiensi pengusaha bas, MDKL mewajibkan semua pengusaha menghantar laporan jumlah penumpang, pada setiap bulan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur.


Pengarang :