SELANGOR

Tapak pelupusan sampah dipulihkan jadi pusat rekreasi awam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Pemulihan tapak pelupusan sisa pepejal telah mula dilakukan sejak 2011 ke atas Tapak Pelupusan Santari Air Hitam, Puchong kepada taman rekreasi yang dinamakan semula kepada Worldwide Landfill Park.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, tapak itu selamat ditutup dan kerja-kerja pemulihan berlangsung selama lima tahun.

“Tapak pelupusan berkenaan berkeluasan 42 hektar yang menampung sejumlah 6.2 juta tan metrik sisa pepejal.

“Antara kemudahan di taman rekreasi itu adalah taman permainan kanak-kanak, trek berbasikal, jogging dan gazebo.

“Taman itu juga mempunyai stesen janakuasa elektrik 220MW yang dihasilkan daripada gas pelupusan sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Setakat ini, Kerajaan Negeri mempunyai tiga tapak pelupusan sisa pepejal iaitu Tapak Pelupusan Santari Jeram, Tapak Pelupusan Santari Tanjung Duabelas dan Tapak Pelupusan Panchang Bedena, Sabak Bernam yang diuruskan anak syarikat Kerajaan Negeri, syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB).

Manakala empat tapak pelupusan sisa pepejal yang ditutup adalah Tapak Pelupusan Kubang Badak (Mukim Bestari Jaya), Tapak Pelupusan Sungai Kembong (Mukim Beranang), Tapak Pelupusan Ampar Tenang (Daerah Dengkil) dan Tapak Pelupusan Sungai Kertas (Daerah Gombak).


Pengarang :