SELANGOR

Terap budaya kreativiti mendepani Revolusi Perindustrian 4.0

OLEH SHEEDA FATHIL

ULU KLANG, 3 DIS: Generasi muda disaran meningkatkan budaya kreativiti dalam diri bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kini masanya untuk anak muda menggunakan pendekatan santai dalam pendidikan namun kreatif, unik dan mencabar.

“Golongan muda seharusnya mampu menjadi lebih kreatif dengan meluaskan capaian mencuba perkara baharu selain pembelajaran dalam kelas.

“Justeru, sudah tiba masanya Selangor menjadi antara negeri terawal dapat bersaing seperti negara luar Dubai, Jakarta atau Singapura dalam berhadapan aspek pendidikan kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program ‘ArtSmart’ yang diadakan di Zoo Negara, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau turut memuji program ‘ArtSmart’ anjuran Universiti Teknologi MARA Puncak Alam yang menerapkan pembelajaran kreatif selain mengangkat seni budaya, warisan dan kesedaran hidup.

Katanya, program itu adalah pendekatan baharu iaitu mengaitkan pendidikan dan persekitaran.

“Justeru, saya percaya apabila gabungan pelbagai insentif terhasil akan tingkatkan lagi kualiti pendidikan pada masa depan.

“Pendekatan santai dalam ‘ArtSmart’ mampu membuka kemahiran dan kreativiti yang luas,” katanya.

Bertemakan ‘art in my nature’, program siri ke empat itu berlangsung dari 1 November hingga 27 Disember ini diadakan bersempena Hari Konservasi Hidupan Liar Sedunia 2018 dan Hari Melawat Zoo Sedunia.

Bertujuan mewujudkan keseimbangan dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran menerusi perkongsian nilai serta pengalaman dalam kalangan pendidik juga masyarakat.


Pengarang :