GLOBAL

2 maut tunjuk perasaan di Sudan

KHARTOUM, 18 JAN: Dua penunjuk perasaan terbunuh dalam bantahan di ibu negara itu, semalam lapor agensi berita Anadolu.

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan dalam kenyataan berkata, dua terbunuh termasuk kanak-kanak, Mohamed Obied dan Dr Babikir Abdul Hamid.

Kerajaan Sudan sebelum ini menyatakan 24 maut dalam bantahan yang sudah berlarutan selama sebulan itu.

Sejak pertengahan Disember, pelbagai bantahan dianjurkan di beberapa bahagian Sudan.

Penunjuk perasaan membantah kerajaan yang didakwa gagal mengekang inflasi serta tidak mampu mengatasi masalah kekurangan komoditi.

Presiden Omar Al-Bashir yang mengetuai Sudan sejak 1989, berikar untuk segera melaksanakan pembaharuan ekonomi ekoran bantahan berterusan pembangkang.

Sudan yang didiami 40 juta penduduk, bergelut untuk pulih selepas kehilangan tiga perempat daripada hasil minyaknya, sumber utama negara itu untuk mendapatkan matawang asing, selepas Sudan Selatan berpisah dengan negara itu pada 2011.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :