NASIONAL

Anwar hiba, junjung kasih perkenan pengampunan Sultan Muhammad V

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa hiba ekoran keputusan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong XV, pada 6 Januari lalu.

Melalui kenyataan media hari ini, beliau secara peribadi menjunjung kasih kepada Sultan Muhammad V atas perkenan baginda mempercepatkan pengampunannya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Seluruh rakyat terutama warga KEADILAN pastinya merasa terkejut dan hiba atas pengunduran diri Tuanku dari takhta Yang di-Pertuan Agong.

“Sesungguhnya Tuanku sinonim dengan sikap tawadu’ dan mesra serta memberi ruang luas kepada pertumbuhan sistem demokrasi, di Malaysia dengan memastikan berlakunya perubahan tampuk kuasa pertama kali dalam sejarah Malaysia secara aman, teratur juga damai.

“Dan atas nama peribadi dan keluarga, kami menjunjung kasih Tuanku di atas perkenan Tuanku mempercepatkan proses pengampunan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sejurus selepas PRU14 lalu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga atas jasa serta khidmat baginda kepada rakyat serta Malaysia, selama bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Adalah didoakan ke hadrat Allah SWT supaya Tuanku dikurniakan kesejahteraan dan seterusnya selamat bersemayam selaku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson secara rasmi diberikan pengampunan penuh oleh Sultan Muhammad V, pada 16 Mei 2018.


Pengarang :