GLOBALSUKANKINI

Carabao Cup: City pasti ke akhir

MANCHESTER, 10 JAN: Manchester City hampir pasti ke final Piala Liga apabila membelasah Burton Albion 9 – 0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Etihad.

Penyerang Brazil, Gabriel Jesus menjaringkan empat gol serta masing-masing satu daripada Kevin de Bruyne, Oleksandr Zinchenko, Phil Foden, Kyle Walker dan Riyad Mahrez ketika berdepan pasukan dari EFL League One itu.

Pengurus City, Pep Guardiola menganggap perlawanan itu penting dalam usaha mereka mengekalkan kejuaraan dimenangi musim lalu ketika menewaskan Arsenal 3 – 0.

“Sudah pasti kami hampir ke akhir tetapi kami perlu bermain perlawanan separuh akhir. Ia tidak mudah dan mengambilnya serius,” katanya dipetik AFP.

Selepas mengalahkan Rotherham 7-0 di Piala FA, Ahad lalu, Guardiola mampu sekali lagi merehatkan beberapa pemain utama tetapi terus menurunkan pasukan yang kuat menentang Burton.

Pengendalinya, Nigel Clough mengakui menghadapi cabaran sukar memerlukan keajaiban untuk menumbangkan juara Liga Perdana Inggeris dalam perlawanan itu.

“Kami tidak mengharapkan apa-apa tetapi telah mencipta sejarah apabila layak ke peringkat ini bersama tiga pasukan Liga Perdana Inggeris,” katanya.

Dengan perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Pirelli, 23 Januari diandaikan melengkapkan jadual sahaja, City kini menanti keputusan perlawanan antara Tottenham Hotspur dan Chelsea, untuk mengetahui pencabar di final pada 24 Februari ini.

 


Pengarang :