SELANGOR

Hospital Shah Alam juara kumpul barang kitar semula 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JAN: Hospital Shah Alam dinobat juara pertandingan kitar semula anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setelah berjaya mengumpulkan 3,230 kilogram (kg) barang kitar semula.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tempat kedua dimenangi Majlis Sukan Negeri Selangor dengan mengumpulkan barang kitar semula seberat 1,986 kg dan ketiga, Jabatan Kerja Raya Selangor, 575 kg.

Katanya, pertandingan itu bertujuan menghargai penglibatan komuniti serta agensi yang telah bersama MBSA menjayakan program kitar semula seterusnya menjadikan Bandaraya Shah Alam bersih dan indah.

“Program ini juga merupakan inisiatif MBSA mempromosikan amalan kitar semula kepada seluruh lapisan masyarakat.


“Pada 2018, MBSA menganjurkan pelbagai program bagi mempromosikan amalan kitar semula dengan melibatkan 32 penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), agensi kerajaan dan hotel,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah berkenaan dimumkan ketika Majlis Apresiasi Alam Sekitar Tahun 2018 yang disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan bertempat di Acapella Suite Hotel, Seksyen 13, di sini.

Sementara itu, bagi Kategori Kitar Semula Minyak Masak Peringkat MPP, tempat pertama dimenangi Persatuan Penduduk Seri Nevilla dengan mengumpul sebanyak 3,030 kg barang kitar semula.

Tempat kedua Persatuan Penduduk Taman Bukit Naga dan ketiga Persatuan Peduduk Taman Anjung Api-Api 30/146 dengan mengumpul 145 kg barangan kitar semula.

Manakala bagi kategori hotel, Intekma Resort mendahului dengan mengumpul sebanyak 485 kg barangan kitar semula, diikuti Hotel De Palma, 268 kg dan Hotel Pegasus, 133 kg barangan kitar semula.


Pengarang :