PENDIDIKANSELANGOR

JAIS terima 40,952 pelajar institusi pendidikan agama pelbagai aliran

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Jika dahulu pengajian sekolah aliran agama dipandang sepi oleh masyarakat, namun persepsi itu semakin berubah sehinggakan permintaan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah agama melebihi kekosongan ditawarkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, perubahan dapat dilihat apabila seramai 40,952 pelajar telah mendaftar di pelbagai institusi pendidikan di bawah seliaan jabatan itu setakat 15 Januari lalu.

“Saban tahun permohonan kemasukan terus meningkat dan jabatan yakin bahawa anak-anak ini akan mempunyai nilai tambah yang tidak dimiliki pelajar biasa dari sudut pengetahuan agama, amalan agama serta nilai murni sangat diperlukan dalam masyarakat kita pada hari ini,” katanya.

Haris berkata demikian pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1440H/2018M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 24,133 pelajar memilih Sekolah Rendah Agama (SRA), 1,213 pelajar ke Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan 3,758 pelajar ke Sekolah Agama Menengah.

Manakala seramai 174 pelajar Maahad mendaftar di Integrasi Tahfiz Selangor, 513 pelajar memilih KAFA Menengah di SRA dan Masjid serta 1,161 pelajar lagi di Pra Sekolah JAIS.

Haris berkata, pada masa ini JAIS juga memperkenalkan pembelajaran Al-Quran menggunakan Mushaf Al-Quran itu sendiri berbanding pendekatan menggunakan buku teks sebelum ini bagi mencapai hasrat melahirkan generasi cemerlang berlandaskan Al-Quran.

Katanya, Mushaf Al-Quran ini dibekalkan ke sekolah JAIS secara wakaf oleh masyarakat sendiri.


Pengarang :