NASIONAL

Kerajaan disaran bantu IKS Bumiputra tembusi pasaran eksport

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan disaran meningkatkan usaha membantu pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) milik Bumiputra mengeksport produk masing-masing ke pasaran antarabangsa.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, antara bantuan boleh dihulurkan termasuk membabitkan isu kewangan dan teknikal.

“Sebenarnya banyak produk IKS keluaran Bumiputra berpotensi untuk dipasarkan di luar negara khasnya di negara Islam.

“Bagaimanapun, masih ramai pengusaha IKS ini yang tidak memiliki pengetahuan teknikal dan sumber modal terhad untuk melangkah ke pasaran luar negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia berkata, selain mampu meningkatkan ekonomi Bumiputra, usaha ini juga membantu kerajaan memulihkan ekonomi dan meningkatkan nilai mata wang negara.

Katanya, pengusaha IKS Bumiputra juga perlu memanfaatkan kerancakan industri e-Dagang.

Hal ini berikutan pasaran perniagaan atas talian pada hari ini semakin berkembang pesat dan mampu memberi pulangan tinggi kepada peniaga.


Pengarang :