SELANGOR

Konsert Dewa 19 bantu usaha banteras dadah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JAN: Konsert Dewa 19 Reunion Live In KL yang bakal berlangsung pada 2 Februari ini bakal membantu usaha Kerajaan Negeri menangani gejala najis dadah.

Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Daing Muhammad Reduan Bachok berkata, sebanyak RM2 daripada setiap jualan tiket akan disalurkan ke Tabung PEMADAM Selangor untuk melancarkan pelbagai aktiviti.

Katanya, kutipan amal itu akan dimanfaatkan dengan program kesedaran, antaranya Jelajah Anti Dadah dalam menjelaskan ancaman dadah terbaharu seperti New Psychoactive Substance (NPS).

“Ia adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah seperti diilhamkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang juga merangkap Penaung dan Pengerusi PEMADAM Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Konsert Dewa 19 Reunion Live In Concert di Stadium Malawati, di sini bakal melakar sejarah tersendiri apabila dua bekas vokalis kumpulan popular Indonesia itu bergabung di pentas yang sama.

Konsert itu menemukan Ari Lasso dan Once yang sebelum ini, pernah menunjangi kekuatan kumpulan asal dari Surabaya itu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memaklumkan, mereka akan membawakan sekitar 30 lagu popular bermula dari album sulung, Dewa 19 yang dihasilkan pada 1992.

 


Pengarang :