NASIONAL

KPDNHEP rampas barangan tiruan lebih RM500,000

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas sejumlah 5,295 unit barangan tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai lebih RM500,000 dalam satu operasi Op Barang Tiruan di ibu negara.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Low Swee Hon berkata, rampasan dilakukan di tiga stor di sebuah pusat beli-belah di Jalan Gelugor, Pudu oleh tujuh anggotanya pada Khamis lalu.

“Operasi dilakukan hasil risikan KPDNHEP selama kira-kira sebulan dan hasil kerjasama pemilik cap dagang berdaftar yang membuat aduan terhadap barangan tiruan menggunakan jenama mereka,” katanya kepada pemberita di pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Barangan tiruan seperti beg tangan dan dompet yang dirampas itu dipercayai untuk jualan di sekitar Lembah Klang.

“Hasil siasatan awal mendapati stor itu telah beroperasi selama dua tahun dan barangan ini dipercayai diperoleh dari luar negara,” kata Low sambil menambah ia adalah serbuan kali kedua ke atas stor terbabit, yang pertama pada 19 Disember tahun lalu dengan rampasan 1,400 unit pelbagai barangan tiruan bernilai RM60,000.

Susulan rampasan terbaharu itu, KPDNHEP Kuala Lumpur mengambil keterangan seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya warga tempatan, bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.


Pengarang :