SELANGOR

LZS prihatin kisah daif tujuh beranak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUCHONG, 21 JAN: Kisah menyayat hati tujuh beranak yang tinggal di sebuah bangunan usang, di sini, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila keluarga terbabit akan dipindahkan ke sebuah rumah lebih selesa dan sempurna.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, keluarga Mohd Azman Mohd Noor, 43, mendapat perhatian netizen apabila kesusahan mereka dimuat naik dan tular di media sosial, baru-baru ini.

Katanya, prihatin dengan kesukaran dihadapi, pihaknya segera menziarahi keluarga itu bagi menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mereka.

“Mohd Azman tidak mampu bekerja kerana menghidap sakit diabetis kronik. Bagi menampung keperluan harian, isterinya, Wiwik bekerja di sebuah kedai makan manakala anak sulungnya berusia 18 tahun juga membantu dengan bekerja di sebuah pasar raya berhampiran.

“Selain itu, Mohd Azman turut mempunyai empat anak lain berusia di antara empat hingga 15 tahun,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila sebuah keluarga dikatakan tinggal di sebuah bangunan kedai usang dikelilingi semak samun dan beratapkan bumbung bocor.

Lebih daif, bangunan tidak dilengkapi kemudahan tandas itu menjadi tempat berteduh kepada keluarga terbabit sejak empat tahun lalu.

Norajun Ainun berkata, hasil daripada siasatan, keluarga itu didaftarkan sebagai asnaf miskin LZS dan bantuan deposit sewa rumah akan disalurkan sebagai permulaan.

“Keluarga ini dijangka akan dipindahkan pada hari ini dan sewa rumah akan dibiayai sepenuhnya LZS.

“Sementara itu, keluarga Mohd Azman akan disantuni dengan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 serta makanan bulanan bermula Januari ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama bagi memastikan nasib keluarga berkenaan terjamin.

Pemantauan terhadap keluarga itu akan dilakukan dan bantuan zakat lain disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat serta kelayakan.


Pengarang :