SELANGOR

MB: Pihak main sentimen perkauman kurang senang semangat Malaysia Baharu

OLEH NAZLI IBRAHIM

BATU CAVES, 21 JAN: Pihak memainkan sentimen perkauman dan agama sempit sebenarnya adalah golongan yang tidak senang dengan keharmonian dan semangat yang ditunjukkan rakyat di era Malaysia Baharu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun beliau percaya majoriti rakyat khasnya di Selangor semakin matang seperti mana ditunjukkan ketika peralihan kuasa pada 9 Mei tahun lalu.

“Kita telah membuktikan kepada dunia rakyat Malaysia boleh menerima demokrasi, boleh melakukan pertukaran kerajaan secara bebas dan aman serta terbukti sebagai contoh di seluruh dunia bahawa kita menjalankan demokrasi di mana rakyat matang dalam demokrasi.

“Justeru, saya percaya walaupun akhir-akhir ini ada pihak yang gemar memainkan sentimen perkauman, menggunakan elemen agama dan kaum yang sempit untuk menakutkan rakyat tetapi hari ini Batu Caves menjadi bukti sebaliknya,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan pengunjung Batu Caves pada Majlis Menyerahkan Sumbangan Buah-Buahan dan Air Minuman serta menyaksikan sambutan Thaipusam di perkarangan Kuil Subramaniam, Batu Caves di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Batu Caves yang diwakilinya sejak tiga penggal lalu itu dikuasai 62 hingga 65 peratus masyarakat Melayu tetapi penganut agama Hindu bebas menyambut Thaipusam di sini sejak kali pertama diadakan pada 1882 hingga 1888 dengan aman dan selesa.

Katanya, keadaan itu diperolehi berikutan masyarakat di Selangor diasuh supaya sentiasa menghormati hak semua kaum untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Ketika menyentuh isu rumah ibadah bukan Islam di Selangor, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sendiri sudah mewartakan lebih 500 buah rumah ibadah bukan Islam di seluruh Selangor sejak 2008.

“Saya beranggapan kita telah menunjukkan satu contoh lebih baik di mana keputusan Kerajaan Negeri bukan berdasarkan kaum atau warna kulit tetapi berasaskan undang-undang yang ada di bawah Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya lagi.

 


Pengarang :