NASIONAL

MIJF tawar harga emas terendah bermula semalam

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Pameran Barang Kemas Eksklusif Malaysia (MIJF), di Kuala Lumpur Convention Centre menawarkan harga emas terendah dengan reka bentuk menarik bermula semalam hingga Ahad 20 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn Bhd, Johnson Lim berkata, orang ramai turut berpeluang melihat barang kemas eksklusif daripada 10 buah negara termasuk Belgium, Dubai dan Itali.

Beliau berkata, pihaknya kali ini berjaya menarik 100 jenama barangan kemas dengan mengumpulkan 100,000 koleksi terbaru dari emas, berlian, batu jed dan mutiara.

“Lebih menarik, tahun ini kami membawakan acara ‘spend and win’ yang membolehkan pengunjung menerima barangan kemas menarik.

“Bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan, anda juga berpeluang melihat pelbagai barangan kemas seperti cincin dengan reka bentuk menarik dan terbaru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika upacara perasmian MIJF di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, semalam.

Turut berkenan berangkat pada acara itu ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Johnson berkata, sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak berjaya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemangkin perdagangan barangan kemas global, di mata dunia.

 


Pengarang :