GLOBAL

Pilihan Raya Presiden Congo: Ketua Pembangkang disah menang

KINSHASA, 20 JAN: Mahkamah Perlembagaan di Congo, hari ini membuat pengisytiharan Ketua Pembangkang, Felix Tshisekedi sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden negara itu.

Keputusan itu dibuat mahkamah selepas pengenepikan tuntutan undang-undang dikemukakan pesaing Tshisekedi dalam pilihan raya itu.

Mahkamah Perlembagaan membuat pengumuman ditunggu itu dengan berkata, Tshisekedi memenanginya apabila memperoleh majoriti mudah, sekali gus beliau layak mengambil alih pemerintahan daripada Presiden Joseph Kabila pada upacara rasmi Selasa nanti.

Bagaimanapun, pesaing terdekat, Martin Fayulu tidak berpuas hati dan segera menggesa komuniti antarabangsa menolak keputusan dibuat itu dengan mahkamah memutuskan rayuannya tidak berasas.

Beliau mendakwa dirinya sebagai ‘satu-satunya Presiden berpandukan undang-undang’ yang ada.

“Saya menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak dan tidak mengiktiraf pentadbiran baharu yang tidak sah ini bagi mewakili rakyat Congo,” katanya, lapor AFP.

Sebelum itu, Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya Nasional (CENI) pada awal Januari, mengumumkan kemenangan Tshisekedi berdasarkan keputusan pilihan raya wilayah tetapi dicabar di peringkat tempatan dan luar negara, menyebabkan Kesatuan Afrika merayu keputusan akhir ditangguhkan.

Bagaimanapun, Mahkamah Perlembagaan hari ini memutuskan kemenangan Ketua Pembangkang itu dan menyatakan Fayulu gagal dalam usahanya membuktikan keputusan dambil itu adalah satu kesilapan.

Hakim Noel Kilomba berkata, CENI berjaya membuktikan dengan satu keputusan betul dan telus.

Kemenangan Tshisekedi diraikan penyokongnya yang berhimpun di luar bangunan mahkamah sambil diawasi polis anti rusuhan.

 


Pengarang :