PM: Kerajaan tetap cari Jho Low walau sukar | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

PM: Kerajaan tetap cari Jho Low walau sukar

PUTRAJAYA, 10 JAN: Kerajaan akan tetap meneruskan usaha mencari ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low walaupun sukar, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat hanya kira-kira tujuh bilion penduduk (dunia) jadi, tidak sukar sangat.

“Kita boleh cari dia, walaupun sukar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini, hari ini.


Jho Low dikenal pasti penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai watak utama dalam skandal berbilion dolar 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dipercayai melarikan diri daripada ditahan di Hong Kong ke pulau berdekatan dengan Macau.

Sebuah portal dalam talian melaporkan semalam, bahawa Jho Low menafikan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa beliau turut memainkan peranan dalam rundingan dengan China untuk membayar balik hutang 1MDB pada 2016 sebagai tukaran kepada pemberian kontrak mewah.

Jho Low, dalam satu kenyataan melalui jurucakapnya yang dikeluarkan menerusi peguamnya mendakwa, artikel berkenaan sebagai “separuh benar” dan menuduh pentadbiran Dr Mahathir bertanggungjawab dalam perkara itu.

Ditanya mengenai dakwaan Jho Low kononnya tuduhan itu bermotifkan politik, Dr Mahathir berkata, ahli perniagaan sedang melarikan diri itu sudah banyak kali bercakap seperti itu sebelum ini.

“Dia yang curi duit bermotifkan politik,” katanya.

Mengenai laporan WSJ itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu mendapatkan dokumen dinyatakan dalam laporan berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita perlu cari dokumen itu dulu dan menggunakannya sebagai bukti ia benar-benar berlaku. Pada masa ini ia hanya sebuah berita dalam akhbar,” katanya.

Memetik minit mesyuarat beberapa siri mesyuarat yang tidak didedahkan sebelumnya, WSJ melaporkan bahawa pegawai China telah memberitahu rakyat Malaysia yang melawat Beijing, mereka akan menggunakan pengaruh untuk memujuk Amerika Syarikat dan beberapa negara lain untuk menggugurkan siasatan terhadap dakwaan bahawa rakan sekutu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan yang lain telah mencuri wang 1MDB.

Sebagai balasan, dakwa WSJ, Malaysia menawarkan kontrak mewah bagi pembinaan landasan kereta api dan saluran paip di bawah program pembinaan infrastruktur ‘One Belt, One Road’ negara China.

WSJ berkata rundingan itu termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur dan Saluran Paip Gas Trans Sabah yang akan dibiayai pada harga melebihi harga pasaran untuk menjana wang lebihan untuk kegunaan lain.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next