NASIONAL

Polis: Siasatan kemalangan SUV jatuh ke laut belum lengkap

BUKIT MERTAJAM, 24 JAN: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, pada 20 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya sedang mengumpul beberapa lagi maklumat dan data bagi melengkapkan kertas siasatan yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.

“Polis juga masih lagi menunggu keputusan ujian darah dan alkohol pemandu Toyota Vios yang turut terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Selepas semuanya lengkap kami akan serahkan kertas siasatan itu ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada BERNAMA.

Katanya, sehingga hari ini polis merekodkan keterangan daripada 16 individu termasuk pemandu kereta Toyota Vios berusia 21 tahun itu, selain saksi awam, anggota keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Dalam kejadian jam 2.54 pagi itu, kereta Toyota Vios itu dikataka berlanggar dengan SUV jenis Mazda CX-5 sebelum SUV berkenaan hilang kawalan dan terhumban ke dalam laut..

SUV berkenaan hanya berjaya diangkat keluar dari laut pada 22 Januari lalu dan mayat pemandunya yang dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, seorang pelajar kolej swasta di George Town ditemui tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan itu.

Nik Ros Azhan berkata, polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula pemandu kereta Toyota Vios itu jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Menurutnya pemandu kereta itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 6.45 petang semalam selepas keterangannya berhubung kemalangan itu diambil.

Beliau berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut terlibat untuk mengumpul data-data berkaitan dengan kemalangan tersebut di lokasi kejadian itu pagi tadi.

– BERNAMA

 


Pengarang :