PBTSELANGOR

Program Kucing Angkat MBSA pada 13 Disember

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Program ‘Kucing Angkat’ sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2019, pada Ahad ini bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 mulai jam 8 hingga 11 pagi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti setempat dan menggalakkan kerjasama secara berterusan.

Katanya, ia juga bagi memupuk sikap bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi persekitaran bersih dan selamat.

“Selain itu, ia juga landasan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.

“Sebanyak 40 ekor kucing akan diadopsi semasa program ini diadakan dan kucing ini ditangkap MBSA di kawasan seperti pasar serta gerai sebanyak 20 ekor, manakala sumbangan daripada badan bukan kerajaan juga 20 ekor.

“Sebelum diadopsi, kucing ini divaksin dan dibuat pemeriksaan kesihatan dengan setiap adopsi akan dikenakan bayaran RM20 serta maksimum pengambilan kucing adalah dua ekor bagi seorang pemilik,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, MBSA juga akan turut bekerjasama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia dan pThe Society for the Prevention of Cruelty to Animals, Selangor, Malaysia (SPCA Selangor) untuk menjayakan program berkenaan.

Katanya, aktiviti lain turut diadakan antaranya seminar, pameran statik, serta ‘booth’ jualan.
Program itu juga menerima tajaan daripada beberapa syarikat pengeluaran makanan haiwan serta klinik rawatan haiwan yang menyokong program berkenaan.


Pengarang :