SELANGOR

Rakyat gembira harga petrol turun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JAN : Rakyat menyambut baik pengumuman kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel mulai 12 tengah malam tadi.

Kegembiraan itu dikongsi mereka menerusi laman media sosial Facebook sebaik sahaja pengumuman dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Salah seorang pengguna, Datin Paduka Anismah Ahmad melahirkan rasa syukur dengan penurunan harga petrol itu yang memberi

penjimatan kepada rakyat.

“Alhamdulillah atas penurunan harga petrol ini sedikit sebanyak sudah tentu dapat menjimatkan kos pengangkutan kepada yang menggunakan kereta sendiri,” tulisnya.

Manakala, seorang lagi pengguna, Iskandar Daniel turut memuji kerajaan kerana mendengar suara rakyat mahukan penurunan harga petrol dilaksanakan.

“Alhamdulillah…kerajaan terbaik dengar keluhan rakyat, lama dah tidak rasa minyak bawah RM2,” tulisnya.

Sementara itu, Radzlan Hamzah memuji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memahami masalah rakyat sekali gus meluahkan bahawa pemimpin nombor satu negara itu seorang pemimpin berjiwa rakyat.

“Terima kasih Tun Mahathir, pemimpin berjiwa rakyat, amat memahami masalah rakyat,” tulisnya.

Selain itu, salah seorang pengguna dengan nama samaran Pokse Setapak juga bersyukur dengan penurunan harga petrol yang dapat membantunya berjimat ulang alik pergi kerja setiap hari.

“Amin, syukur, saya ini ulang alik pergi kerja jauh, sudah turun harga Alhamdulillah,” tulisnya di ruangan komen.

Tidak kurang juga bagi Faizol Jaafar sempat berseloroh dengan menulis bahawa semalam sebagai hari terakhir untuk rakyat menikmati harga petrol mahal sebelum ia turun mengikut harga ditetapkan.

“Malaysia sudah tidak jual minyak mahal, esok (hari ini) Malaysia mula jual minyak murah, jadi malam ini (semalam) hari akhir kita nak rasa minyak mahal,” tulisnya.

 

Terdahulu, kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel bermula tengah malam tadi sehingga 11 Januari ini, menerusi pelaksanaan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan, bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Harga runcit petrol RON97 diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter, RON95 (RM2.20 seliter) kepada RM1.93 seliter manakala diesel (RM2.18 seliter) kepada RM2.04 seliter.

 


Pengarang :